Penjelasan Aliff Dan Ruhainies Buat Netizen Tambah Sangsi

PENJELASAN pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies mengenai insiden mereka ditangkap khalwat pada 9 Mac lalu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Ramai orang yang menyuarakan ketidakpuasan terhadap penjelasan yang diberikan dan mengajukan pertanyaan tentang beberapa perkara yang dianggap tidak masuk akal

Kenyataan dibuat Aliff dan Ruhainies di Instagram itu juga turut menarik perhatian pelakon wanita, Eyra Hazali yang turut berasa pelik dengan kejadian itu.

Komen Eyra dan reaksi netizen di platform X berkenaan dengan kenyataan rasmi Ruhainies dan Aliff Aziz.

Eyra juga meragukan keberadaan pembantu peribadi Ruhainies yang dikatakan mengiringinya dari lokasi penggambaran ke kondominium tersebut.

Pelakon itu turut bertanya sama ada Aliff juga turut berasa takut membuka pintu apabila Ruhainies mendengar suara lelaki ketika diserbu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Jadi PA pergi mana? Kenapa bukan PA tolong angkat barang? The boy (Aliff) pun risau keselamatan ke tak nak buka pintu?,” soalnya.

Aktres itu turut mempertikaikan mengapa Ruhainies tidak mengajak isteri Aliff iaitu Bella Astillah makan malam bersama memandangkan aktres itu merupakan kawan baiknya.

Malah Eyra turut tertanya-tanya Ruhainies langsung tidak meminta maaf kepada Bella dalam kenyataan yang dibuat.

“Tak ajak isteri atau yang dipanggil kawan baik sekali ke makan-makan? Mana minta maaf pada isteri (Bella)?

“Kesimpulannya kena ada batas walaupun sudah 10 tahun berkawan,” katanya.

Pada masa yang sama, netizen juga setuju dengan pertanyaan yang diajukan oleh Eyra dan merasakan kenyataan pasangan pelakon tersebut tidak masuk akal. Beberapa netizen malah mengkritik cara kedua-dua selebriti itu menjelaskan isu tersebut sebagai cubaan untuk menutup kesalahan.

Macam budak-budak sekolah reka cerita atau bagi alasan dekat cikgu lepas ‘kantoi’ buat salah.

“Kenyataan langsung tak logik akal. Jalan sesak dan perjumpaan makan-makan pukul dua pagi? Tak tahu siapa dekat pintu?

“Dia ingat kita tak tengok 999 ke? Setiap kali Jawi atau polis datang, mestilah akan beritahu sambil ketuk pintu,” antara komen netizen.

Tidak hanya itu, ramai turut mempertikaikan Ruhainies asyik mengulang fakta sudah mengenali Aliff sejak 10 tahun lalu.

“Terpaling kawan baiklah? Boleh ajak jumpa rumah pukul 2 pagi? Merepek! Baran betul aku baca kenyataan dua-dua ini,” komen netizen lain pula.

Pada malam Khamis, Aliff dan Ruhainies akhirnya tampil menjelaskan kejadian sebenar mereka ditangkap selain kedua-dua mereka menafikan mempunyai hubungan istimewa.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan Ruhainies ditahan Jawi di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang hari sama dan bakal didakwa di Mahkamah Syariah.

Pada Isnin lalu, Bella memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres namun sebutan pada Rabu lalu ditangguhkan apabila aktor itu tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran drama.

Untuk rekod Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masingmasing berusia tujuh dan empat tahun.

Sumber: mStar Online

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Scroll to Top