Tarikh Pengumuman Dividen KWSP 2024

Jangkaan Dividen KWSP 2024

Bagi 2023, penganalisis menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lebih baik berbanding dividen yang diberikan pada 2022.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

Katanya, KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion.

“Justeru, dana persaraan ini ada kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar. Namun disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil.

“Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa. Namun, KWSP dijangka memberi pulangan dividen lebih baik dengan unjuran antara 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, kadar yang lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Aimi Zulhazmi berkata, selain laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku tahun 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang tahun lalu.

“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah dengan memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” katanya.

Beliau menambah, antara cabaran besar KWSP adalah mengimbangi pelaburan dalam dan luar negara, terutama dalam menyokong syarikat tempatan dari aspek pelaburan modal dalam mengembangkan keuntungan dan memakmurkan negara.

“Indeks komposit Bursa Malaysia tidak menunjukkan peningkatan ketara. Indeks pernah melebihi 1,500 mata pada Januari 2022, namun untuk keseluruhan 2023, ia hanya berlegar pada aras 1,400 ke 1,450 mata.

“Ini disebabkan oleh faktor pasaran modal dunia yang terarah kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) yang terus menaikkan kadar faedah pada 2023,

“Justeru, ia mempengaruhi pengurus dana asing, terutama untuk mengubah portfolio pelaburannya dari Bursa Malaysia ke negara AS,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

Tarikh Pengumuman Dividen KWSP 2024

Setiap tahun, KWSP akan mengisytiharkan kadar dividen tahun lepas berakhir Disember pada awal suku pertama tahun tersebut, iaitu dalam pertengahan / penghujung bulan Februari atau awal Mac.

Semua ahli akan dimaklumkan mengenainya melalui media massa, termasuklah media sosial rasmi seperti Facebook dan Twitter. 

Bagi tahun 2022 yang lalu, KWSP telah mengumumkan kadar dividen 2021 pada tengah hari 2 Mac 2022.

Bagi tahun 2023, dividen KWSP bagi tahun kewangan 2022 telah diumumkan pada 4 Mac.

Terkini bagi tahun 2024 pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadualkan mengumumkan dividen bagi 2023 pada Ahad, 3 Mac 2024. Dalam satu notis sidang akhbar, KWSP berkata pengumuman itu akan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn.

KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50% untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM50.33 bilion dan 5.40% untuk Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM7.48 billion, menjadikan keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2023 sebanyak RM57.81 bilion.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai Prestasi Kewangan dan Dividen KWSP 2023 di laman web rasmi KWSP.

Untuk makluman, ahli boleh menyemak penyata terkini bermula 3 Mac 2024 dan digalakkan membuat semakan melalui aplikasi KWSP i-Akaun.

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Scroll to Top